55 pelajar Maahad Tahfiz di Pendang diraikan KMEK dan e-Idaman

news
07 Jun 18

PENDANG, 7 Jun (Bernama) -- Seramai 55 pelajar Maahad Darul Mustafa di Batu Menunggul di sini diraikan dengan pemberian sumbangan duit raya beserta barangan keperluan makanan oleh Kelab Media Elit Kedah (KMEK) dan Environment-Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) hari ini.

Program penyerahan sumbangan itu merupakan kerjasama antara syarikat pengendali pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan anggota KMEK.

Presiden KMEK Mohd Rafie Azimi berkata pemberian duit raya itu diharap mampu menambah kemeriahan dan meringankan beban pelajar maahad tahfiz itu untuk membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Kita sebenarnya membuat kutipan dan mengumpul derma daripada ahli daripada wartawan dan jurugambar selain menyalurkan kepada mereka yang memerlukan, kita beri barangan makanan manakala E-Idaman memberi sumbangan duit raya kepada para pelajar terlibat," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat E-Idaman Erni Nerina Awang Salleh berkata pihaknya berbesar hati untuk menjayakan program itu yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka sekali gus dapat berkongsi kegembiraan bersama pelajar itu.  

Sementara itu, pengetua maahad tahfiz berkenaan Shuzaimee Aidy Samsudin berkata sumbangan sedemikian sememangnya membawa erti yang besar kepada pihak pengurusan maahad tahfiz dan pelajar berkenaan.

"Pelajar ini bukan semua senang, ada yang mualaf dan ada yang datang dari Indonesia dan kami cari sepenuhnya dana untuk mereka dan bergantung kepada yuran pelajar yang tidak mencukupi, sudah tentu bantuan ini turut membantu," katanya.

Seorang pelajar, Mohd Hariz Cheong Abdullah, 20, berkata dia begitu gembira dengan kehadiran wartawan serta jurugambar ke maahad tahfiz itu memberikan bantuan raya dan berasa beruntung kerana pertama kali menjalani ibadah puasa bersama rakan lain di situ selepas memeluk Islam dua tahun lepas.

"Saya baru ada di sini enam bulan lalu dan sekarang sudah biasakan diri bersama rakan-rakan. Alhamdulillah hari ini suasana sungguh seronok bersama wartawan dan jurugambar KMEK, kami sama-sama bernasyid sebelum diberikan sumbangan duit raya ini," katanya.

-- BERNAMA

Related News