E-Idaman Perkenal Pengimbas Bar Kod Kutipan Kitar Semula

news
25 Jun 18

ALOR SETAR - Syarikat pengendali pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam E-Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) akan memperkenalkan sistem pengimbas bar kod kitar semula di rumah bagi menggalakkan penduduk mengasingkan sisa pepejal di samping menjadi platform untuk mereka menjana pendapatan yang ditawarkan pihak syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Mhd Saiful Anuar Zainal berkata, pengimbas berkenaan akan dipasang di 2,030 pagar rumah di kawasan taman perumahan seluruh Kedah dan Perlis secara berperingkat yang akan bermula pada Julai ini.

Katanya, buat permulaan, Taman Desa Kubang Rotan dan Taman Sri Makmur di Kuala Kedah, di sini telah dipilih untuk menjayakan projek perintis ini yang akan membabitkan hampir 150 rumah penduduk.

"Insya-Allah kami akan buat majlis pelancarannya pada Julai ini tujuan utamanya ialah untuk memastikan kerja-kerja mengutip sisa pepejal yang diasingkan lebih mudah berikutan penduduk hanya memasukkan bahan kitar semula ke dalam beg plastik sebelum ia diimbas oleh petugas sebelum dibawa ke pusat pengumpulan bahan kitar semula di Tajar, di sini."

"Kami ada 11 jenis kategori termasuk kertas dan plastik iaitu setiap daripadanya mempunyai nilai ganjaran tersendiri yang dimasukkan ke dalam kad pintar debit yang diperkenalkan pada Mac lalu," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri E-Idaman sdn Bhd di sini, hari ini.

Kira-kira 1,000 orang hadir bagi memeriahkan majlis tersebut yang menyajikan pelbagai jenis juadah kepada pengunjung.

Related News