EISB tingkat operasi bersih sampah sepanjang Ramadan

news
24 May 18
ALOR SETAR, 24 Mei (Bernama) -- Syarikat E-Idaman Sdn Bhd (EISB) akan mempertingkatkan operasi pembersihan sampah sepanjang Ramadan ini berikutan jumlah sisa pepejal di Kedah dijangka meningkat antara 20 hingga 25 peratus berbanding hari biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif EISB, Mhd Saiful Anuar Zainal berkata bagi membantu melancarkan proses pembersihan sepanjang Ramadan dan Syawal akan datang, 213 unit jentera dan kenderaan operasi akan digunakan.

"Bahagian operasi EISB akan melaksanakan pembersihan di 79 lokasi bazar Ramadan di seluruh Kedah bermula pukul 8.30 malam sehingga pukul 11 malam dengan menggunakan 26 unit jentera dan 362 tenaga kerja.

"Kadar sampah yang dihasilkan pada musim perayaan di Kedah juga meningkat sehingga 1,700 tan berbanding 1,400 tan. Bagi memastikan kelangsungan kutipan sampah, jadual kutipan sampah berjalan seperti biasa dan dilanjutkan sehingga tengah malam," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau turut mengingatkan  masyarakat supaya mengelak daripada melakukan pembaziran makanan bagi mengurangkan jumlah penghantaran sisa ke tapak pelupusan.

Terdahulu, Mhd Saiful Anuar menyampaikan sumbangan kepada 40 anak yatim yang terdiri daripada anak-anak bekas kakitangan EISB pada Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Aidilfitri di Hotel Tabung Haji di sini.

-- BERNAMA
 

Related News