Skim insurans daripada barang kitar semula

Skim-insurans
14 Jul 18

ALOR SETAR: Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) untuk menjayakan program Kad Pintar ‘Recycle for Life For U’ (RFL4U).

Program itu diperkenalkan untuk memberi skim perlindungan insurans kepada golongan miskin dan asnaf di negeri ini dengan menggunakan barangan kitar semula sebagai bayaran premium.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat E-Idaman Sdn Bhd, Ir Mohd Saiful Anuar Zainal berkata, E-Idaman adalah syarikat pertama membantu golongan kurang berkemampuan di negeri ini memperoleh insurans berkelompok yang dijangka akan dilaksanakan menjelang hujung tahun ini.

“Bagi golongan miskin ini, apa yang mereka perlu dilakukan adalah hanya melakukan aktiviti kitar semula dalam jumlah ditentukan antara RM5 hingga RM10 dalam tempoh setahun,” katanya pada sidang media di Majlis Pelancaran Sistem Kod Bar dan Pendaftaran Secara Talian Kad ‘Recycle For Life, di Taman Desa Kubang Rotan, di sini, pada Jumaat.

Majlis dirasmikan Exco Pelancongan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew dan turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Menurutnya, dalam program ini, pihak YSB akan membuat bayaran terdahulu kepada syarikat insurans, manakala golongan terlibat hanya perlu membawa barangan kitar semula untuk menukar kepada nilai mata wang ringgit.

“E-idaman tidak mahu menerima wang malah hanya mahu menerima barangan kitar semula untuk bertujuan menanam sikap kesedaran kepada golongan sasar ini supaya mereka sedar sampah yang dibuang setiap hari boleh menjadi pendapatan," katanya.

Related News