SMK Simpang Kuala projek rintis RFL

rfl
27 Jul 18

ALOR SETAR - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala, di sini, terpilih sebagai sekolah pertama melaksanakan Projek Sekolah Rintis Recycle for Life (RFL) di Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Ir Mhd Saiful Anuar Zainal berkata, sekolah terbabit terpilih untuk menjadi sekolah model kitar semula dalam usaha menerapkan amalan murni itu di negeri ini.

Menurutnya, Kelab Sahabat RFL yang disokong 599 pelajar, 57 guru dan 10 staf sokongan akan ditubuhkan di sekolah itu untuk menyokong matlamat utama Projek Sekolah Rintis.

“Melalui kelab itu, peserta terlibat digalakkan membawa barang kitar semula dikumpulkan mereka sebelum menggunakan kad RFL yang diperkenalkan hujung tahun lalu.

“Kemudiannya, barang kitar semula akan ditimbang sebelum menerima nilai ganjaran yang boleh ditebus guna di premis berkolaborasi dengan RFL, seperti kantin SMK Simpang Kuala,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Karnival Lestari My Rukun Negara dan Pelancaran Kad RFL Projek Sekolah Rintis 2018 di SMK Simpang Kuala, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Setar/ Padang Terap/ Pokok Sena, Mohamed Zaizulman Zainal Abidin dan Pengetua SMK Simpang Kuala, Zainab Yaman.

Katanya, sekolah dilihat mampu menjadi platform terbaik untuk menerapkan amalan kitar semula dan penjagaan alam sekitar.

“Dengan ini, kita dapat meningkatkan amalan kitar semula, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan tapak pelupusan sampah, memandangkan ada sebahagian sampah ini boleh dikitar semula,” katanya.

Beliau berkata, Projek Sekolah Rintis RLF berkenaan akan diperluaskan di kira-kira 780 sekolah di negeri ini secara berperingkat.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Dr Salmee Said berkata, Program RFL ini dilihat mampu memberi galakan dan mendidik masyarakat termasuklah pelajar bagi tempoh jangka panjang untuk membudayakan amalan kitar semula.

Related News