Tukar sampah kepada ganjaran tunai dengan kad pintar RFL

TUKARSAMPAH
17 Jan 18

ALOR SETAR - Dalam usaha mengurangkan sampah dihantar ke tapak pelupusan sampah, syarikat E-Idaman Sdn Bhd (EISB) memperkenalkan kad ganjaran tunai 'Recycle for Life' (RFL) manfaat untuk penduduk Kedah dan Perlis.

Ketua Eksekutifnya, Ir Mohd Saiful Anuar Zainal berkata, RFL atau dikenali 'Kitar Semula kepada Kehidupan' diperkenalkan pihak kami dengan mengambil kira permasalahan yang ada di Malaysia. Di Kedah, peratusan kitar semula barulah sampai 12 peratus.

"Dilihat dari segi komposisi janaan sisa di Kedah mencapai 1,400 tan sehari. Sekiranya, hanya 12 peratus dapat dikitar semula, selebihnya 88 peratus terpaksa dibawa ke tapak pelupusan.

"Ini akan menyebabkan kos pengurusan tapak pelupusan meningkat, sekaligus akan meningkatkan pembebasan gas rumah hijau dan mencemarkan persekitaran,"katanya, pada sidang media, sebelum melakukan gimik pelancaran program RFL di Wisma E-Idaman, Bandar Stargate, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebagai langkah efektif memupuk masyarakat terutama di Kedah dan Perlis dapat manfaatkan 'sisa' (sampah) yang boleh ditukar kepada satu bentuk pendapatan, pihaknya memperkenalkan kad pintar RFL.

"Idea ini tercetus daripada hasil kajian program RFL dilaksanakan sejak tahun 2015. Walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai tindakan seperti pengasingan sisa di punca, tetapi penglibatan masyarakat adalah agak kurang.

"Ganjaran tunai secara 'cashless system' kepada masyarakat melalui aplikasi penggunaan kad pintar dapat memupuk kesedaran masyarakat sekaligus memacu amalan kitar semula di Kedah dan Perlis, khususnya,"katanya.

Mohd Saiful berkata, sebagai memberi nilai tambah kepada kad ini, kami telah berbincang dan berjumpa dengan pihak Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim untuk program 'out reach' kepada masyarakat menerusi kolaborasi bagi memantapkan aktiviti RFL.

"Selain itu, program pemberian sangkar kitar semula turut membantu memupuk budaya kitar semula dalam kalangan penduduk setempat. Tambahan pula, dengan ada kad pintar RFL yang menjadi pemangkin untuk masyarakat aktif melakukan kerja pengasingan sisa pepejal,"katanya.

Tambah beliau, budaya kitar semula turut dipupuk dalam kalangan setiap warga EISB supaya untuk membawa barangan kitar semula sebanyak 7.16 kilogram, setiap minggu.

"Dua tahun lalu, saya mewajibkan setiap kakitangan EISB untuk membawa  enam kilogram barangan kitar semula, setiap minggu.

"Dengan inisiatif kad pintar RFL dan warga kerjanya bersemangat untuk membawa barangan kitar semula sebanyak mungkin untuk ditukar dalam bentuk ganjaran tunai,"katanya.

Setakat ini, Mohd Saiful berkata, sebanyak 1,500 kad pintar RFL didaftarkan sejak September 2017 dan EISB sudah membuat bayaran RM40,000 ke atas barangan kitar semula di hantar ke seluruh cawangan E-Idaman di Kedah dan Perlis.

"Sebanyak 11 jenis barangan yang diterima dan harga dibeli oleh EISB juga tinggi, jika dibandingkan syarikat atau pembeli barangan lusuh di luar sana. Permohonan kad akan dibuka di seluruh cawangan termasuk di Wisma E-Idaman secara.

"Mereka yang berminat boleh berdaftar dan mendapatkan ini secara percuma dan mendapatkan nilai ganjaran yang boleh ditebus guna di beberapa pasaraya dan premis yang berkolaborasi dengan RFL,"katanya.

Sebelum program RFL yang julug kali dilaksanakan, beliau berkata  hasil kajian menunjukkan sebanyak 34 peratus barangan kitar semula masih berada di tong sampah.

"Peratusan itu menurun kepada 23 peratus selepas inisiatif RFL dilaksanakan selama dua bulan. Susulan penguatkuasaan pengasingan sisa pepejal oleh pihak SWCorp, angka itu menurun kepada 17 peratus,"katanya.

Related News